Baca petikan di bawah dengan telitinya.
Ruang bagi golongan remaja menceburi bidang keusahawanan ini amat luas. Bidang keusahawanan ialah bidang yang perlu diterokai oleh kebanyakan remaja. Remaja yang melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi juga boleh menceburi bidang keusahawanan walaupun masih bergelar pelajar. Dunia sekarang yang semakin moden dan sangat mencabar menuntut para remaja supaya berdikari dan berdaya kreatif. Keusahawanan dan perniagaan harus dijadikan satu daripada kerjaya pilihan dalam kalangan remaja supaya kebergantungan terhadap pasaran kerjaya makan gaji dapat dikurangkan dan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan masyarakat.
Dipetik dan diubah suai daripada ‘Ayuh, Jadilah Usahawan!’ oleh Syed Mahadzir Syed Ibrahim, *Dewan Siswa*, Bil 7/2019
Senaraikan **kata penguat, kata bantu** dan **kata bilangan.** Kemudian anda dikehendaki membina **satu ayat anda sendiri** daripada setiap perkataan yang dipilih untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
6 分
26 分
Malaysia berpotensi menjadi destinasi pelancongan yang terkemuka di rantau Asia. Lantaran itu, pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan dan agensi swasta bagi menarik para pelancong datang ke negara ini. Usaha yang dilakukan termasuklah mengadakan jualan mega setiap tiga bulan sekali dan memperkenalkan Malaysia sebagai pusat pelancongan kesihatan.
Pisahkan ayat-ayat di bawah menjadi **enam ayat tunggal** dengan mengekalkan maksud serta struktur ayatnya.
6 分
311 分
Dalam petikan di bawah terdapat **pelbagai kesalahan bahasa**.
Rukun Negara bertujuan membentuk pepaduan yang kukuh di dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berbeza latar belakang dan kepercayaan agama. Prinsip Rukun Negara merupakan kunci keharmonian dan perpaduan kaum yang menentukan kejayaan dan kestabilan Malaysia. Rakyat Malaysia mesti bersatu diri mempertahankan kemerdekaan melalui apa yang digaris dalam Rukun Negara. Prinsip kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan misalnya, amat menekankan pesonaliti dan tingkahlaku setiap rakyat Malaysia.
Prinsip ke-lima ini menekankan peranan setiap rakyat Malaysia dalam menguruskan hal masing-masing tanpa melanggar tatasusila. Setiap rakyat tidak boleh mempersoalkan kesetiaan seorang warga negara yang lain berdasarkan kaum, agama dan asal usul nenek moyangnya. Pelangaran tatasusila dalam kehidupan seharian akan mewujudkan perasaan tidak puas hati yang selama-lama akan berkembang menjadi hasad-dengki.
Dipetik dan diubah suai daripada ‘Menjunjung Rukun Negara Menjulang Kemerdekaan’ oleh Jessica Ong Hai Liaw, *Dewan Masyarakat*, Ogos 2020
Kenal pasti, senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda perlu menulis kesalahan-kesalahan yang dikenal pasti dan membuat pembetulannya. Anda tidak perlu menyalin petikan tersebut.
11 分
46 分
Baca petikan bahasa Melayu klasik di bawah dengan teliti.
Syahadan, maka berkenan Sultan Muzaffar Syah mendengar kata Tun Perak itu. Pada hati baginda, “Adapun Tun Perak ini tidaklah patut jadi bentara lagi, patut menjadi Perdana Menteri.”
Maka digelar baginda Paduka Raja, disuruh duduk di seri balai setara Seri Nara Diraja. Maka Paduka Raja pun naiklah duduk dekat Seri Nara Diraja di seri balai, maka Seri Nara Diraja berkisar ke tengah.
Dipetik daripada ‘Burung Terbang Dipipihkan Lada’ dalam *Antologi Sejadah Rindu*, Kementerian Pendidikan Malaysia
Tulis semula petikan tersebut dalam **bahasa Melayu Standard** tanpa mengubah bentuk dan maksud asalnya.
6 分
56 分
Baca petikan di bawah dengan teliti.
Murid-murid Tingkatan 5 Betta tekun menyelesaikan tugasan biarpun sukar kerana mereka sedar bahawa ……(i)…… iaitu lama-kelamaan perkara yang sukar itu akan senang kerana selalu dibuat. Guru tingkatan mengingatkan mereka agar tidak bertangguh atau berlengah-lengah untuk menyiapkan tugasan kerana ……(ii)……. ”Murid tidak boleh memberi pelbagai alasan jika ingin mencapai impian, berusahalah dengan gigih dan jangan mengalah kerana ……(iii)……,” nasihat guru tingkatan mereka lagi.
Isikan **tiga peribahasa** yang sesuai dengan situasi dalam petikan tersebut pada ruang kosong yang disediakan.
6 分
Bahagian B: Pemahaman全答 3 题
612 分
Baca **Bahan 1** dan **Bahan 2** yang diberikan dengan telitinya. Kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
**Bahan 1**
KUALA NERUS – Sekumpulan nelayan bukan sahaja turun ke laut untuk mencari rezeki harian, malah turut melakukan kerja amal dengan mengutip sampah bagi mengurangkan pencemaran alam, sekali gus memastikan hidupan laut *dapat membiak* pada masa depan.
Ketua kumpulan nelayan itu, Mohd Rosli Daud, 40 tahun, dari Kampung Daik Haji Musa, Pasir Panjang, menjelaskan bahawa kira-kira 70 hingga 100 kilogram sampah hanyut akan dikutip dan diangkut ke bot untuk dibawa balik ke jeti setiap kali mereka turun ke laut. Katanya, antara sampah yang dikutip sebelum pulang ke jeti ialah tali, pukat, ranting kayu dan pelepah kelapa serta dahan pokok.
“Kami akan berenang dan ada ketikanya terpaksa menyelam beberapa meter ke dasar laut untuk mengutip sampah yang tersangkut pada tali. Kami meluangkan masa antara 30 hingga 45 minit untuk menyelam ke dasar laut atau berenang mengutip sampah untuk dibawa balik ke jeti,” katanya ketika ditemui di jeti bot di Pulau Duyong.
Dipetik dan diubah suai daripada ‘Nelayan Kutip Sampah Hanyut Setiap Kali Turun Ke Laut’ oleh Bahar Ali, Berita Harian, 8 Ogos 2022
**Bahan 2**
KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew memohon maaf kepada segelintir pihak yang kurang senang terhadap kerja amal yang dilakukannya bagi membantu petugas barisan hadapan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Beliau sebelum ini sangat aktif membantu golongan tersebut dan prihatin dengan pengorbanan setiap petugas barisan hadapan termasuk kakitangan perubatan. Malahan segala aktivitinya yang dikongsi di laman sosial mendapat sokongan daripada pelayar Internet.
Berkaitan dengan dakwaan yang dilemparkan, beliau lebih selesa untuk tidak mengendahkannya dan terus menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Menurutnya, sedekah terbahagi kepada dua iaitu jenis sembunyi dan diuar-uarkan sah di sisi agama.
Dipetik dan diubah suai daripada ‘Ebit Lew Mohon Maaf kepada Pihak Kurang Senang Kerja Amalnya’ oleh Syairah Abdullah, Sinar Harian, 26 April 2020
i
Berdasarkan **Bahan 1,** berikan maksud rangkai kata *dapat membiak*.
2 分
ii
**Bahan 1** dan **Bahan 2** berkaitan dengan kerja-kerja sukarela yang dilakukan tanpa sebarang bayaran.
Nyatakan tujuan utama mereka sanggup melakukan aktiviti tersebut.
3 分
iii
Kerajaan amat menggalakkan kerja-kerja kesukarelawanan dilakukan oleh badan bukan kerajaan (NGO).
Pada pendapat anda, apakah impaknya sekiranya aktiviti kesukarelawanan menjadi amalan seluruh rakyat Malaysia?
3 分
iv
Sekolah anda sering mengadakan program gotong-royong dan aktiviti kesukarelawanan. Namun, ada dalam kalangan rakan anda enggan menyertainya. Mereka menganggap aktiviti seperti itu hanya memenatkan diri dan membuang masa.
Sebagai rakan yang bertanggungjawab, nyatakan usaha-usaha anda untuk menggalakkan rakan anda menyertai program itu.
4 分
713 分
Baca bahan-bahan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
**Bahan 1**
**AZMIR:** Itu hak saya. Tapi saya buat begitu bukan tanpa sebab. Saya bertindak demikian kerana dalam masyarakat di sini sudah tidak ada kasih sayang. Kasih sayang hanya wujud di bibir saja. Hanya wujud pada nama saja. Nama saja tidak membawa makna apa-apa. Yang penting ialah praktiknya yang diiringi dengan hati nurani yang bersih dan suci. Apa, Pak Haji memiliki apa-apa yang saya sebut sebentar tadi tu? Saya ragui Pak Haji memilikinya.
**PAK HAJI:** Azmir, mengucap Azmir.
**AZMIR:** Apa? Pak Haji fikir saya sebodoh itu? Tak tahu mengucap? Saya sudah mengucap lama dahulu. Pak Haji jangan hendak membodohkan saya. Saya bukan tidak percaya kepada Tuhan. Saya cuma tidak percaya kepada manusia. Lebih-lebih lagi manusia-manusia seperti Pak Haji ni. Manusia yang bercakap lain, tapi buat lain. Sudahlah. Lebih baik Pak Haji beredar dari sini sebelum apa-apa yang tak diingini berlaku. Pergi ….pergi…pergi. Aduuh! (AZMIR meraung kesakitan. PAK HAJI hanya melihat tanpa perasaan belas kasihan dan beransur-ansur meninggalkan pentas).
Dipetik daripada drama ‘Bukan Gila’ oleh Sharif Shaary dalam antologi *Sejadah Rindu*, Kementerian Pendidikan Malaysia.
**Bahan 2**
“Ayah sibuk dengan epal-epal ni juga. Sedarlah ayah dah tua. Mengapa ayah masih mempertahankan kebun ini? Mengapa ayah masih degil?”
Buchanan menahan pedih. Hatinya berketai-ketai kini hancur remuk. Bagaikan kaca terhempas ke batu lalu *berderai kecil*.
“Kalian tidak sedar bahawa epal-epal ini sangat bererti. Kebun ini pusaka. Nostalgia. Nenek moyang kalianlah yang mempertahankan epal golden grimes satu ketika dahulu. Kalau tidak kerana usaha mereka itu kalian tidak akan dapat mengecapi keenakan gravenstein, maiden blush, balwin, ribston atau red astrachan,” Buchanan menjerkah anak-anaknya.
Kecewa menjalar laju dalam urat-urat di tubuhnya. Lagipun mendiang ibu kalian sangat menyayangi kebun ini.
Dipetik daripada cerpen ‘Kerana Manisnya Epal’ oleh Faisal Tehrani, dalam Antologi *Anak Laut*, Kementerian Pendidikan Malaysia
**Bahan 3**
**Sajak Pesan Ibu Beribu-ribu**
Kita ada ibu
ibu kita satu
pesanannya beribu-ibu.
Setiap langkah kita diiringi pesanan ibu
“Buat begini jangan begitu
bacalah buku selalu
kukuhkan diri dengan ilmu
pilihlah kawan yang mulia hati
tolaklah kawan pementing diri
pilihlah kawan yang punya petunjuk
tolaklah kawan bertabiat buruk.”
Ibu yang satu menyekat kita di pintu
bertanya ke mana arah tuju
“Jagalah diri selalu
di luar sana mungkin bencana menunggu.”
Kita menjadi jemu
mendengar pesanan beribu-ibu
tapi ibu tetap ibu
pesanan bertambah satu dan satu
“Jangan dibiar kepala berkutu
carilah ubat jerawat batu.”
**Rahman Shaari**
Antologi Bintang Hati
KPM, 2016
i
Berdasarkan **Bahan 2**, berikan maksud *berderai kecil*.
2 分
ii
Berdasarkan **semua bahan**, nyatakan nasihat atau penerangan orang tua kepada anak atau orang yang lebih muda agar boleh menyedarkan mereka.
4 分
iii
Walaupun seseorang itu berpelajaran tinggi dan mempunyai banyak pengalaman, tetapi nasihat ibu bapa perlu diberikan perhatian.
Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu memberikan perhatian terhadap nasihat ibu bapa kita?
3 分
iv
Pemikiran dan tindakan ibu bapa tidak semestinya betul mengikut pemikiran anak. Apatah lagi anak melalui zaman yang berbeza dengan ibu bapa mereka.
Nyatakan cara anda meluahkan idea anda apabila menghadapi masalah perbezaan pendapat dengan ibu bapa.
4 分
810 分
Jawapan bagi soalan yang berikut hendaklah berdasarkan novel **Tingkatan 4** dan **Tingkatan 5**.
i
Baca petikan novel di bawah ini dengan telitinya, kemudian jawab soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
> Suasana pada malam itu tenang sekali. Sekumpulan kanak-kanak dari Sekolah Rendah Kichihimahigashi, Hiroshima duduk di kerusi di atas platform melengkung dan mengelilingi kubah balai cerap yang tersergam di lereng konkrit Bukit Melawati Kuala Selangor. Balai Cerap Sultan Salahuddin dicirikan dengan reka bentuk yang diinspirasikan oleh rumah api Almnara, Somalia. Di samping menonjolkan reka bentuk kubah yang lazim digunakan oleh banyak bangunan balai cerap lain, bangunan ini juga menambah sebuah platform yang mengelilingi kubah tersebut. Platform itu mempunyai ketinggian 50 meter dari tapak balai cerap tersebut.
>
> Selain daripada menyediakan kemudahan untuk pencerapan bintang dengan menggunakan teleskop berkuasa tinggi, Balai Cerap Sultan Salahuddin juga menyediakan ruang untuk pencerapan mata kasar dengan membenarkan para pelawat menyaksikan juzuk-juzuk kosmos dari platform tersebut.
>
> Dipetik daripada novel *Bimasakti Menari* karya Sri Rahayu Mohd Yusop, Kementerian Pendidikan Malaysia
Nyatakan ciri-ciri reka bentuk Balai Cerap Sultan Salahuddin.
4 分
ii
Jawab soalan di bawah ini berdasarkan novel-novel yang berikut:
(a) *Leftenan Adnan Wira Bangsa*, karya Abdul Latif Talib
(b) *Di Sebalik Dinara*, karya Dayang Noor
(c) *Jendela Menghadap Jalan*, karya Ruhaini Matdarin
(d) *Pantai Kasih*, karya Azmah Nordin
(e) *Songket Berbenang Emas*, karya Khairuddin Ayip
(f) *Tirani*, karya Beb Sabariah
(g) *Bimasakti Menari*, karya Sri Rahayu Mohd Yusop
(h) *Silir Daksina*, karya Nizar Parman
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan **dua** peristiwa yang menunjukkan novel ini sesuai dibaca oleh pembaca.
6 分
Bahagian C: Rumusan全答 1 题
930 分
**Bahan 1**
Budi bahasa bertunjangkan pembentukan akhlak dan moral yang sempurna. Secara amnya, budi bahasa merujuk tutur kata dalam percakapan, kelakuan, tatatertib, kesantunan dan kesusilaan yang terangkum dalam pengamalan nilai-nilai kendiri positif. Dalam cabaran mewujudkan masyarakat bermoral dan beretika, kerajaan sering menekankan betapa pentingnya rakyat Malaysia memiliki nilai-nilai murni dan budi pekerti yang luhur.
Budi bahasa menjadi tunjang untuk mengekalkan keamanan negara kerana bangsa yang berbudi bahasa akan melahirkan negara yang berdaulat. Dalam usaha menongkah gelombang modenisasi yang kini menyusup ke segenap alam, elemen budi bahasa tidak seharusnya dipinggirkan. Ironinya, pengamalan nilai budaya dan moral merupakan indikator yang paling utama dalam pembentukan sahsiah masyarakat moden kini. Di samping itu, pembangunan modal insan yang menerapkan nilai-nilai budi bahasa akan memungkinkan perbuatan rasuah dalam sistem pentadbiran tidak berlaku.
Sejarah membuktikan bahawa jatuh bangun sesebuah tamadun turut bertunjangkan kelestarian budi bahasa anggota masyarakatnya. Oleh itu, masyarakat yang berbudi bahasa mampu memanjangkan usia sesebuah tamadun manusia. Selain itu, budi bahasa amat penting dalam pembentukan masyarakat yang berkebolehan dan berpengetahuan. Masyarakat yang berbudi bahasa ini akan menonjolkan kebolehan diri berasaskan etika yang terpuji dengan berpandukan pengetahuan yang dimiliki. Individu yang sentiasa berbudi bahasa akan menjadi pewaris pembangunan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana peranan setiap warganegara adalah untuk membebaskan bangsa daripada belenggu penjajahan idealisme.
Masyarakat perlu akur bahawa tanpa moral dan etika dalam diri akan meninggalkan kesan negatif. Tanpa pembentukan budi bahasa, pemikiran masyarakat hanya bersumberkan nilai-nilai Barat kerana selalu menganggap sesuatu yang datang dari negara Barat itu sangat baik dan wajar dicontohi. Kegagalan mengamalkan nilai-nilai murni juga memungkinkan generasi muda tidak lagi mempunyai perasaan hormat terhadap golongan yang lebih tua. Keadaan ini jika dibiarkan berlarutan akan membuahkan natijah yang akan meruntuhkan institusi kemasyarakatan. Ringkasnya, jatuh bangun sesebuah bangsa bertunjangkan adunan resipi budi bahasa yang luhur dan diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat.
Dipetik dan diubah suai daripada ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ oleh Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub, *Dewan Siswa*, Bil. 8/2018
**Bahan 2**
**AMALAN BUDI BAHASA**
Dalam meniti kehidupan
budi bahasa jadikan amalan
budi bahasa tunjang kehidupan.
Ingatlah pesan orang tua-tua
“Biarpun engkau kaya ilmu dan berjaya
budi bahasa usah dilupakan.”
sejak kecil ibu bapa mendidik kita
menjadi insan berbudi bahasa.
Jadikanlah ibu bapa sebagai teladan
berbudi bahasa tanpa mengenal sempadan
menjadi insan yang berguna setiap masa.
Di sekolah
guru pula memainkan peranannya
membimbing murid berbudi bahasa
berbudi bahasa jadikan pegangan
setiap waktu setiap masa
kehadiran kita disenangi semua.
**Raslan Ahmad**
Shah Alam, Selangor.
Baca dan teliti **setiap bahan** yang diberikan, kemudian buat satu **rumusan** yang panjangnya **tidak melebihi 120 patah perkataan**. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan.